oleh Sahban Bin Hj. Md. Smail
Pengenalan
Moral merupakan satu gambaran penilaian tingkah laku baik dan buruk manusia sama ada terhadap manusia atau bukan manusia. Moral juga sering dikaitkan dengan peraturan sesuatu kelompok masyarakat di mana ianya menjadi satu aturcara kehidupan masyarakat tersebut. Lebih tepat lagi, moral boleh ditakrifkan sebagai ajaran atau pegangan berkenaan buruk baik sesuatu perbuatan (Kamus Dewan, 1996: 897). Perilaku manusia yang baik akan menggambarkan moral yang tinggi manakala sebaliknya perilaku yang buruk menunjukkan moral yang rendah. Tidak semua anggota sesebuah masyarakat itu menerima berbagai-bagai perlakuan dan tindakan yang terkeluar daripada batas-batas norma dan nilai-nilai kemanusiaan. Fenomena ini muncul mungkin disebabkan terdapatnya perbezaan-perbezaan pandangan, pemikiran dan sikap terhadap sesuatu isu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat atau komuniti itu (Siti Aisah Murad, 1996: 213). Maka itu, jika dilihat pentakrifan nilai moral terhadap sesuatu perbuatan seringkali berbeza terutama antara masyarakat Asia dengan masyarakat Barat.
Dalam ruang lingkup masyarakat Melayu, unsur moral tidak hanya disampaikan secara lisan tetapi juga disampaikan secara berkarya sama ada melalui sastera lisan atau sastera tradisional. Cara ini amat berkesan kerana di samping sastera menjadi media dalam menghibur, secara tidak langsung ianya menjadi satu alat dalam menyampaikan mesej serta tunjuk ajar kepada khalayak. Di sini khalayak bebas menilai sesuatu perkara tersebut dengan akal yang waras serta berlandaskan kepada pegangan agama. Hukum alam juga menjadi satu sandaran kepada khalayak dalam berfikir tentang buruk baik sesuatu perbuatan. Sebagai contoh hukum alam mengatakan bahawa perbuatan baik akan dibalas dengan baik dan sebaliknya perbuatan jahat akan dibalas dengan hukuman yang setimpal. Ini menjadi satu pegangan bagi setiap masyarakat di dunia ini dan termasuklah masyarakat Melayu.
Sastera Melayu Tradisional
Sastera tradisional terlebih dahulu dikenali sebagai sastera lama dan istilah ini diguna pakai sehingga akhir tahun 1960an (Zalila Sharif, 1993: 5). Penghasilan kesusasteraan Melayu tradisional, terdiri daripada tradisi sastera lisan dan tradisi sastera bertulis dan kedua-duanya tercipta dalam dua bentuk iaitu prosa dan puisi. Walau bagaimanapun, tradisi sastera lisan merupakan sastera yang tertua dalam masyarakat Melayu dan sebahagiannya masih diamalkan oleh kelompok masyarakat terutama genre pantun yang digunakan dalam majlis-majlis tertentu. Sastera lisan diamalkan dari satu generasi ke satu generasi dan ianya menjadi hak milik masyarakat kerana sastera ini tidak mempunyai pengarang. Berbeza dengan sastera bertulis, sastera ini mempunyai pengarang kerana ianya mempunyai teks untuk dihayati oleh khalayak. Namun begitu, tidak semua pengarang Melayu tradisional dapat dikenali secara jelas oleh khalayak di mana sebahagian identiti mereka adalah samar (Muhammad Haji Salleh, 1992: 25). Ini kerana gaya berkarya bagi pengarang Melayu tradisional lebih mengutamakan penghasilan karya berbanding penonjolan identiti pengarang tersebut.
Seperti dinyatakan di atas bahawa sastera Melayu tradisional, tidak hanya berfungsi sebagai bahan hiburan semata-mata tetapi juga berfungsi dalam menyampaikan unsur-unsur pengajaran kepada khalayak. Ianya menjadi wadah dalam mendidik masyarakat terutama bagi masyarakat Melayu yang begitu kaya dengan budi bahasa serta sikap berkerjasama. Penilaian sesuatu cerita adalah bergantung kepada penerimaan khalayak kerana tiada satu ketetapan dalam memastikan apa yang diceritakan menjadi teladan dan diikuti oleh golongan masyarakat tersebut. Penyampaian cerita-cerita tidak hanya dipersembahkan kepada golongan tertentu serta di ruangan khas sahaja tetapi menurut Mohd Taib Osman ia juga diceritakan kepada kanak-kanak sewaktu hendak tidur (Zalila Sharif, 1993: 5).
Unsur Moral Dalam Sastera Melayu Tradisional
Dalam sastera Melayu tradisional, banyak tersimpan unsur-unsur pengajaran untuk dijadikan tatapan serta pedoman kepada masyarakat khalayak. Ada yang disampaikan secara terus dan adakalanya disampaikan secara tidak langsung. Banyak genre sastera Melayu tradisional yang dihasilkan untuk tujuan tersebut, antaranya ialah pantun, peribahasa, cerita teladan, cerita binatang dan cerita jenaka. Dalam kajian ini kita akan melihat bagaimana unsur-unsur moral ini disampaikan kepada khalayak melalui genre-genre ini.
Pantun yang merupakan satu genre yang tertua dalam kelompok sastera Melayu tradisional, lahir setelah masyarakat Melayu boleh berkomunikasi dan menjadi satu alat alternatif dalam berkomunikasi. Ianya dicipta sebagai suatu pengucapan dalam menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara. Walaupun pantun mempunyai baris puisi yang ringkas, padat dan terhad ruang bicaranya, namun mesej yang hendak disampaikan kepada pendengar adalah tepat (Zubir Idris, 2001: 46). Ini kerana sikap masyarakat Melayu yang tidak mahu berterus terang dalam menyampaikan maksud bagi mengelakkan hati si pendengar rasa tersinggung atau rasa berkecil hati sekiranya disampaikan secara terus terang. Di samping itu, ia juga digunakan untuk berjenaka, menyindir, memberi nasihat dan bersukaria (Annas Haji Ahmad, 1988: 32). Secara tidak langsung penglahiran pantun ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu berbudi bahasa dari segi komunikasi dan melambangkan ketinggian akal budi dalam setiap ruang kehidupan. Malah terdapat ungkapan yang mengatakan bahawa ‘Biar miskin harta, tetapi kaya budi bahasa’.
Jika dilihat dari dalam pantun itu sendiri yang mempunyai pembayang dan maksud, banyak yang membicarakan tentang konsep budi. Ini kerana dalam falsafah pemikiran masyarakat Melayu konsep budi merupakan asas keperibadian seseorang insan (Hanapi Dollah, 2001:14). Dalam konsep budi ini, dititikberatkan soal bekerjasama serta tolong menolong tanpa mengharapkan balasan. Budi pekerti yang mulia bukan hanya untuk kehidupan peribadi tetapi turut merujuk kepada kehidupan bermasyarakat. Malah ianya juga bukan hanya menjurus kepada pemberian dan penerimaan barangan daripada seseorang kepada yang lain tetapi turut meliputi seluruh konsep hubungan sosial masyarakat (Harun Mat Piah 1997, 469). Antara pantun yang membicarakan konsep budi ialah:
Puas sudah kutanam padi
Nenas juga di tanam orang,
Puas sudah ku tanam budi,
Emas juga dipandang orang.
(Harun Mat Piah, 1997: 133)
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.
(Mohd. Yusof Md. Nor, 1985: 12)
Dari kedua-dua pantun di atas, budi merupakan satu sandaran hidup bagi masyarakat dan ianya akan disanjung serta dikenang hingga ke akhir hayat. Maka itu budi tidak dapat dibalas dengan wang ringgit dan ianya menjadi ukuran dalam menilai keperibadian seseorang.
Konsep budi tidak hanya terdapat dalam pantun sahaja tetapi juga terdapat dalam peribahasa Melayu. Antaranya seperti berikut:
Elok bahasa bagi bakal hidup,
Elok budi bagi bakal mati.
(Harun Mat Piah 1997, 469)
Harimau mati tinggalkan belangnya,
Gajah mati tinggalkan tulangnya
Manusia mati tinggalkan nama.
(Harun Mat Piah 1997, 461)
Ini merupakan unsur moral yang amat ditekankan oleh masyarakat Melayu dan menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat. Sehingga ke hari ini, semangat ini masih lagi wujud dalam masyarakat Melayu di mana semangat tolong menolong masih kedapatan dalam kehidupan harian tetapi dengan arus kemodenan serta zaman globalisasi, konsep budi semakin berkurangan di kala ini.
Dalam sastera Melayu tradisional berbentuk prosa, cerita teladan memainkan peranan penting dalam menyampaikan unsur moral dan unsur pengajaran sama ada berlandaskan peraturan kehidupan sosial dan budaya atau ajaran agama (Zalila Sharif, 1993: 94). Ia menjadi asas utama dalam memberi sumber pendidikan kepada kanak-kanak melalui cerita-cerita yang menjadi teladan kepada masyarakat. Sasaran cerita teladan ini adalah kepada golongan kanak-kanak kerana pelajaran harus dimulai di awal usia. Antara cerita-cerita yang tergolong dalam cerita teladan ialah Si Tenggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan Bawang Putih Bawang Merah. Cerita-cerita ini juga dikenali sebagai cerita-cerita Melayu tua atau asli dan kadang kala ia disebut sebagai cerita dongeng Melayu yang bermoral (Annas Haji Ahmad, 1988: 9). Ini kerana cerita-cerita teladan ini tidak mempunyai bukti kesahihan kecuali cerita Si Tenggang yang mempunyai bukti di satu tempat seperti gua yang menyerupai kapal dan batu-batu berbentuk manusia (Zalila Sharif, 1993: 95).
Hubungan ibu dan anak dalam institusi kekelurgaan telah dititik beratkan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Cerita Si Tenggang dan Batu Belah Batu Bertangkup, mewakili moral hubungan ibu anak yang ingin disampaikan oleh pengarang. Dalam cerita Si Tenggang dikisahkan tentang anak yang mempunyai budi pekerti yang rendah setelah beroleh kekayaan dan mempunyai isteri yang cantik. Sikap ini berlawanan dengan sikap yang ada pada dirinya sebelum beroleh kekayaan kerana terlalu mengikutkan hati, menjadi lupa diri dan asal keturunannya. Berbeza dengan gambaran tentang kasih ibu yang sanggup menerima celaan dari anaknya sendiri. Walau bagaimanapun, atas rasa kasih terhadap anak maka si ibu memohon kepada Tuhan agar diberikan hukuman kepada anaknya. Di sini ingin digambarkan kepada umum bahawa kasih ibu kepada anak adalah sepanjang hayat. Anak tidak harus menderhaka kepada ibu bapa mereka walau di mana mereka berada atau setinggi mana darjat mereka. Di samping itu, harus diingat bahawa di mana asal usul keturunan kita dan seharusnya tidak melupai jasa ibu bapa. Doa ibu senantiasa makbul dalam menentukan kebahagiaan atau kedukaan anak-anak mereka.
Manakala dalam cerita Batu Belah Batu Bertangkup turut membawa kisah moral dalam penceritaannya. Sikap anak yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan perasaan ibunya. Dikisahkan bahawa kerana terlalu mementingkan selera sendiri, si anak sanggup memakan telur ikan yang disimpan untuk si ibu. Juga gambaran si anak yang mengingkari pesanan ibunya kerana terlalu melayani kerenah adiknya sehingga menyebabkan kematian kepada si ibu. Atas rasa sedar si kakak telah menerima amanah supaya menjaga adiknya dalam menyesuaikan diri sebagai anak yatim piatu dalam kehidupan yang penuh gelombang. Berbeza dengan cerita Si Tenggang, cerita ini berakhir dengan kebahagiaan (happy ending) di mana Melor berkahwin dengan putera raja.
Dalam cerita-cerita teladan di atas, institusi kekeluargaan telah mendapat tempat dalam memberi pedoman serta tunjuk ajar kepada khalayak. Ibu dan bapa seharusnya dihormati serta disayangi tidak kira sama ada mereka susah atau senang. Ini kerana doa kedua-dua ibu bapa terhadap anak-anak mudah dimakmulkan oleh Tuhan. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, kemuliaan ibu bapa terletak di paras yang tinggi. Maka itu penekanan kepada subjek tersebut lebih di utamakan berbanding subjek lain.
Cerita binatang adalah satu lagi genre cerita rakyat yang popular dalam masyarakat Melayu (Zalila Sharif, 1993: 102). Dalam masyarakat Melayu watak dalam cerita binatang ini adalah terdiri dari binatang iaitu kancil dan hanya sebahagian kecil adalah watak manusia. Kancil yang memiliki tubuh badan yang kecil serta kudrat yang lemah dapat menewaskan mahkluk yang besar serta gagah. Dengan menggunakan akal yang cerdik dan tipu helah, kancil dapat memperdayakan buaya tanpa menggunakan tenaga. Di samping itu kancil berperanan sebagai binatang yang adil sehingga menerima gelaran ‘Syah Alam Di Rimba’ (Annas Haji Ahmad, 1988: 22). Kancil sering kali menjadi hakim dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh mahkluk rimba. Seperti dalam cerita kancil melepaskan kerbau yang menolong buaya yang dihempap kayu, setelah kerbau hampir menjadi mangsa buaya. Malah kancil juga telah dipanggil oleh Tuanku Raja Sulaiman untuk menjadi hakim dalam perbalahan sesama manusia.
…Lalu baginda menitah panglimanya, iaitu serigala menyuruh jemput Tuk Hakim Kancil akan memutuskan bicara itu.
(Mohd Yusof Md. Nor, 1986: 18)
Dalam cerita-cerita binatang ini apa yang hendak disampaikan ialah dengan akal yang cerdik manusia dapat mengatasi permasalahan dengan berkesan tanpa menggunakan tenaga yang kuat. Ini bermakna bahawa soal pelajaran amat dititik beratkan untuk mengharungi kehidupan di masa hadapan.
Namun begitu tidak selalunya nasib kita di atas, kadang kala berada di bawah ibarat sebuah roda kadang kala di atas dan kadang kala di bawah. Ini berlaku terhadap kancil walaupun sering kali dapat menewaskan binatang lain tetapi beliau tetap dapat ditewaskan dengan bintang yang lebih kecil iaitu siput. Kancil telah tewas dalam pertandingan perlumbaan yang diadakan bersama dengan siput. Sikapnya yang bongkak serta sombong telah memakan dirinya.
…Sang Kancil sangat bersukacita kerana ia dapat mempertunjukkan kecekapan dan kepandaiannya kepada Sang Siput…
…Sang Kancil sangat merasa malu dan menyesal atas perbuatannya memandang rendah terhadap kebolehan Sang Siput…
(Majlis Peperiksaan Malaysia, 1996: 37-38)
Manusia harus beringat dan tidak berbangga diri kerana akhirnya ia akan memakan diri sendiri. Sikap sombong tidak harus tersemat dalam sanubari masyarakat Melayu dan sikap rendah diri yang akan membawa kejayaan akhirnya. Itulah yang berlaku terhadap siput di mana walaupun sedar dengan kudrat yang ada tidak dapat mengatasi kancil yang pantas tetapi berkat kesabarannya telah membawa kejayaan.
Selain cerita binatang, cerita-cerita jenaka juga banyak ditemui nilai-nilai moral di dalamnya. Walaupun ia menjadi alat dalam berhibur serta berjenaka namun moral dari cerita-cerita tersebut amat banyak dan harus dinilai dengan fikiran yang sempurna. Dalam cerita jenaka, ianya boleh dibahagikan kepada tiga iaitu cerita orang bodoh (Pak Kadok dan Lebai Malang), cerita orang lurus dan betul (Pak Pandir) dan cerita orang cerdik dan pintar (Pak Belalang dan Si Luncai) (Annas Haji Ahmad, 1988: 16). Dalam bahagian pertama seperti cerita Lebai Malang, watak lebai sering kali menerima musibah atau nasib yang malang. Lebai Malang dengan sikap tamak yang ingin menghadiri majlis kenduri di dua buah rumah dan melawat kematian di sebuah rumah kerana mengejar ganjaran bagi ketiga-tiga rumah tersebut tetapi akhirnya hanya mendapat sekeping lempeng.
…Sudah sembahyang lalu berfikir di dalam hatinya. Ke mana baik aku pergi ini? Jika aku pergi kepada orang mati tentu aku mendapat sedekah kain putih dan tikar. Dan kalau aku pergi kepada orang berkhatam pengajian itu, perutku tentulah kenyang dan sedekah pula secupak daging kerbau serta kelapa setali dan kampit beras satu. Dan jikalau aku pergi kepada orang berdikir itu perutku tentulah kenyang makan lempeng penganan angkatan orang itu…
(Raja Haji Yahya, 1968: 48-49)
Ini menggambarkan bahawa sikap tamak haloba akan membawa padah kepada kita akhirnya. Di samping itu, juga digambarkan bahawa status lebai juga merupakan manusia biasa yang sering membuat kesilapan dalam membuat keputusan.
Dalam cerita Pak Pandir, ianya menggambarkan sifat bodoh masyarakat sekiranya membuat sesuatu perkara tanpa berfikir terlebih dahulu. Digambarkan watak Pak Pandir sebegitu bodoh dalam membuat sesuatu perkara tanpa berfikir hinggakan anak yang menangis disangka ketawa ketika dimandikannya dengan air yang panas.
…Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang bergelora. Maka diambilnya anaknya itu di celor oleh Pak Pandir yang tongong itu, lalu matilah, menyeringai gusinya serta mengelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, ‘Amboi! Sukanya anakku mandi air panas rupanya.’
(Raja Haji Yahya, 1968: 15)
Di samping itu, Pak Pandir juga tidak dapat membezakan antara lebai dengan seekor kambing kerana Pak Pandir mengenali lebai hanya melalui gambaran yang diterimanya dari Mak Andeh.
…Maka dilihat oleh Pak Pandir di sisi kampung itu adalah beberapa ekor kawan kambing sedang makan rumput. Semuanya berjanggut. Maka Pak Pandir pun hampirlah kepada kawan kambing itu serta berkata, ‘Hai Pak Lebai, Andeh mengajak ke rumah hendak kenduri.’…
(Raja Haji Yahya, 1968: 21)
Dari kisah Pak Pandir ini, walaupun ia berunsur jenaka namun apa yang hendak disampaikan oleh pengarang ialah sifat-sifat bodoh yang tidak harus ada dalam keperibadian masyarakat Melayu.
Begitu juga dalam cerita Pak Belalang dan Si Luncai menunjukkan sifat kepintaran rakyat biasa yang dapat menipu dan membodohkan golongan atasan. Pak Belalang mencari nafkah hidup dengan menipu daya serta helah yang dilakukan ke atas raja. Pak Belalang telah menjadi ahli nujum dengan menggunakan tipu dayanya tanpa diketahui oleh masyarakat kecuali anaknya. Unsur ‘nasib baik’ timbul dalam cerita ini di mana kebanyakan perkara yang berlaku adalah secara kebetulan dan bernasib baik di samping usaha yang dilakukan. Dalam Si Luncai pula digambarkan sebagai seorang yang hina tetapi kerana kepintaran dan ‘nasib baik’, ia dapat mengelakkan diri dari hukuman bunuh ke atasnya walaupun akhirnya Si Luncai menerima balasan buruk.
Dari cerita-cerita jenaka di atas, digambarkan kepada kita bahawa cerita-cerita yang berbentuk jenaka ini sebenarnya mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi yang harus diteladani oleh masyarakat Melayu khususnya. Cerita-cerita ini membawa unsur petunjuk dan pedoman (mungkin dalam bentuk sindiran) terhadap masyarakat khalayak. Unsur-unsur moral ini disampaikan secara berjenaka dan kadang kala khalayak tidak perasan apa yang ingin disampaikan dalam cerita tersebut kerana alpa dengan kelucuan cerita tersebut. Di samping itu, cerita-cerita jenaka ini merupakan kritikan kepada perkara-perkara yang kurang sopan dan mencela kelakuan yang kurang baik yang dilakukan oleh golongan atasan.
Kesimpulan
Dalam kajian ini hanya dibicarakan tentang empat genre sastera Melayu tradisional yang mengandungi unsur moral yang disampaikan kepada khalayak. Namun begitu, bagi genre lain unsur moral tetap terdapat walaupun tidak secara langsung ianya di sentuh. Nilai moral dalam setiap karya sastera tradisional tetap wujud, hanya khalayak yang perlu menilai serta memahami maksud tersirat. Ini kerana dalam pemikiran masyarakat Melayu keterbukaan dalam menyatakan sesuatu tidak diamalkan. Sasaran khalayak adalah bergantung kepada genre sastera tersebut. Maka itu penyampaian bagai keempat-empat genre sastera Melayu tradisional di atas adalah berbeza antara satu sama lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment