Friday, December 5, 2008

161 DEFINISI BUDAYA

oleh : Mustapha Ahmad Marican

AL. Kroeber dan Clyde Kiuckhohn telah mengumpulkan lebih kurang 161 definisi tentang budaya. Oleh itu, budaya dapat dilihat daripada beberapa pendekatan.

Pendekatan deskriptif, menekankan isiates conlenls kebudayaan. Melalui pendekatan ini, budaya mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan seni, hukum, moral, adat istiadat, dan kemampuan serta kebiasaan lain yang diterima oleh masyarakat.

Pendekatan historikal, menekankan warisan sosial dan tradisi. Menurut Park dan Burgess, budaya sesuatu masyarakat ialah keseluruhan organisasi daripada warisan sosial yang diterima sebagai sesuatu yang bermakna, yang dipengaruhi oleh watak dan sejarah hidup sesuatu bangsa.

Pendekatan normatif memberikan perhatian kepada peraturan, cara hidup, idea, atau nilai daripada perilaku. R. Linton menyatakan bahawa budaya sesuatu masyarakat ialah pandangan kehidupan daripada sekumpulan idea dan kebiasaan yang dipelajari, dimiliki, dan diwariskan dari generasi ke generasi.

Pendekatan psikologi melihat persoalan penyesuaian diri. Budaya terdiri daripada semua proses belajar dalam sesuatu masyarakat.

Pendekatan struktural menekankan aspek pola dan organisasi kebudayaan. Tumey menyatakan bahawa budaya ialah tindakan dan kesatuan aktiviti sedar manusia yang berfungsi membentuk pola umum untuk mendapatkan penemuan, baik yang material mahupun yang bukan material. Budaya dilihat sebagai produk, alat, benda ataupun idea dan simbol.

Oleh itu, pengertian budaya sangat luas, tetapi yang penting budaya ialah persoalan pokok tentang manusia. Kebudayaan ialah produk manusia dan adanya kebudayaan kerana manusia. Kebudayaan berpusat pada fikiran dan hati manusia. Kebudayaan juga merupakan aktiviti pemikiran manusia.

Budaya dapat dilihat daripada dua tahap, iaitu kebudayaan sebagai persoalan proses dan kebudayaan sebagai produk. Dalam tahap produk, kebudayaan wujud sebagai (i) gagasan, konsep atau fikiran; (ii) aktiviti, dan (iii) benda. Kebudayaan dapat juga merupakan penjelmaan nilai, iaitu teori (ilmu), ekonomi, seni, kuasa (politik), agama, dan solidariti sosial.

Mengikut Koentjaraningrat, budaya mempunyai tiga kewujudan, iaitu pertama, "wujud dalam satu kompleks dari idea-idea, norma-norma peraturan dan seumpamanya; wujud kedua sebagai kompleks aktivitis kelakuan berpola dari manusia dan masyarakat; ketiga wujud sebagai benda-benda hasil karya manusia." (1973: 15)

Namun, hubungan antara ketiga-tiga kewujudan saling berkaitan dan saling mempengaruhi.

Aspek kebudayaan dipelajari oleh anggota masyarakatnya kerana penting. Budaya tidak diterima melalui baka atau warisan. Setiap orang harus mempelajari kebudayaannya dengan hidup bersama-sama dalam masyarakatnya. Proses untuk meneruskan kebudayaan daripada generasi kepada generasi disebut sebagai enkilturasi ataupun sosialisasi.

Misalnya, manusia makan dan minum pada waktu tertentu yang dibenarkan oleh kebudayaan, tidak seperti haiwan yang makan dan minum apabila berasa lapar atau dahaga. Hal ini membezakan manusia daripada haiwan kerana manusia biasanya makan melalui pengalaman, iaitu apabila mereka berasa lapar dan setelah sampai waktunya. Dengan kata lain, manusia mempunyai waktu makan yang telah ditetapkan. Namun, masa makan dan minum berbeza antara masyarakat.

Kebudayaan dapat difahamkan melalui simbol yang ada dalam masyarakat. Leslie White (1969) mengatakan bahawa semua tingkah laku manusia bermula dengan penggunaan simbol seni, agama, dan kewangan yang mempunyai pengertian yang tertentu. Lambang seperti hospital, tandas, dan sekolah merupakan aspek simbolik yang paling nyata. Bahasa menggantikan objek dengan kata.

Kebudayaan juga merupakan fenomena yang sentiasa diubahsuai supaya terus kekal. Masyarakat menyesuaikan diri dari semasa ke masa mengikut keperluan masyarakat.

Dalam sesebuah masyarakat, budaya memainkan peranan yang amat penting. Budaya sesuatu bangsa mewujudkan keseragaman tingkah laku yang diikuti oleh masyarakat tersebut. Keseragaman ini melicinkan kehidupan masyarakat tersebut. Budaya berperanan mengatur sesuatu masyarakat agar tidak wujud kecelaruan apabila menghadapi sesuatu situasi.

Contohnya, budayalah yang menetapkan tingkah laku kita apabila bertandang ke rumah orang. Sebelum masuk, haruslah kita memberikan salam. Jika tuan rumah menjemput masuk, kita masuk dan duduk dengan sopan. Tuan rumah pula akan melayan tetamunya, seperti menghidang makanan dan minuman. Kita hendaklah menjamah makanan yang terhidang sebagai menghormati tuan rumah. Tingkah laku yang sebegini harus diikuti, jika tidak, kita dikatakan tidak tahu akan budaya masyarakat. Jelas bahawa budaya sesuatu bangsa itu berperanan mengatur tingkah laku.

Budaya juga berperanan mensosialisasikan anggota masyarakat yang baharu agar menjadi orang yang berguna kepada kelompoknya. Anggota baharu perlu mempelajari peraturan, nilai, adat istiadat, seni, hukum dan sebagainya yang telah diterima oleh masyarakat. Dengan ini, budaya dapat membentuk anggota baharu menjadi orang yang berguna.

Budaya turut berperanan membentuk personaliti dan jati diri seseorang. Budaya harus dipelajari oleh setiap orang. Daripada pemelajaran, akan terbentuklah pelbagai masyarakat yang mempunyai personaliti. Budaya menjadi alat untuk pembentukan personaliti dan menjadi pendekatan untuk memahami serta menghuraikan kepelbagaian budaya. Memang sudah menjadi harapan sesuatu masyarakat bahawa setiap ahlinya mempunyai personaliti yang baik. Hal ini demikian kerana budaya merupakan segala benda yang elok bagi mencerminkan masyarakat berkenaan. Masyarakat berkenaan akan lebih dikenali melalui budayanya.

Budaya menjaga anggotanya melalui kawalan sosial, norma, dan nilai masyarakat. Contohnya, sesuatu masyarakat itu melarang pergaulan lelaki dan perempuan yang terlalu bebas. Budaya mengawal tingkah laku dengan mewujudkan batasan dalam pergaulan. Budaya mengatur agar setiap individu masyarakat memahami norma dan nilai masyarakatnya. Contohnya, adat bertegur sapa, memberikan salam dan menghormati orang tua merupakan cara budaya mengawal anggotanya.

Budaya berperanan mengubah sikap masyarakat terhadap sesuatu pembaharuan. Anggota masyarakat amat payah menerima sesuatu yang baharu dalam kehidupan mereka. Budaya sebegini haruslah dielakkan dan masyarakat berkenaan harus berfikiran terbuka. Pada suatu masa dahulu, orang Melayu, khasnya, enggan melakukan penuaian padi dengan cara memukul tangkainya kerana cara ini, kata mereka, akan merosakkan semangat padi dan mereka akan disumpah oleh semangat padi dan hasil tuaian berkurangan. Namun, budaya yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa telah mengubah sikap orang Melayu. Kini rata-rata orang Melayu menuai padi secara memukul tangkainya kerana cara sebegini lebih pantas dan dapat menjimatkan masa.

Hasil daripada mempelajari sesuatu budaya, anggota kelompok dapat mencipta barangan dan perkhidmatan yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Dalam seni bina masyarakat Melayu, umpamanya, budayanya telah mengketengahkan hasil ciptaan masyarakat tersebut. Pola seni bina ini melambangkan jati diri masyarakat berkenaan. Dalam seni bina rumah, umpamanya, rumah Sarawak, rumah Terengganu, dan rumah Negeri Sembilan, setiap rumah yang dicipta itu melambangkan budaya bangsa sesuatu masyarakat berkenaan, yang berbeza mengikut daerah atau tempat. Rumah itu dibina bukan sahaja untuk tempat perlindungan, tetapi lebih mempamerkan budaya masyarakat berkenaan.

Selain itu, budaya berperanan mempengaruhi petempatan sesuatu masyarakat. Misalnya, petempatan masyarakat Melayu berasaskan tanah yang subur dan kawasan tepi sungai atau pantai kerana mereka petani dan nelayan. Petempatan masyarakat Iban di bahagian hulu sungai untuk memudahkan untuk mereka melakukan aktiviti pemburuan. Orang Cina tinggal di bandar kerana mereka peniaga. Hal ini menjelaskan bahawa budaya membahagikan petempatan masyarakat dan membezakan sesuatu masyarakat daripada masyarakat yang lain. Namun, kini semuanya telah berubah. Banyak orang Melayu dan orang Iban telah berhijrah ke bandar.

Budaya juga memainkan peranan dalam sistem pemerintahan orang Melayu zaman dahulu. Dalam struktur pemerintahan, golongan atasan, seperti raja, pembesar, dan bangsawan, merupakan pusat perkembangan budaya. Bagi golongan pemerintah, subbudayanya ialah budaya tinggi, budaya elit, atau budaya istana. Pengertian budaya tinggi dalam konteks ini berasaskan gaya hidup yang tinggi dan lebih baik mutunya berbanding dengan budaya rakyat.

Golongan pemerintah mempunyai kuasa dan kekayaan. Oleh itu, gaya hidup mereka lebih mewah daripada rakyat jelata. Corak hidup miskin rakyat tercermin daripada penghasilan budaya mereka. Oleh sebab golongan pemerintah mempunyai harta kekayaan, kedudukan mereka lebih bersifat kebendaan yang mencerminkan kedudukan mereka. Golongan pemerintah memberikan penekanan kepada kedudukan adat, tatatertib, dan sopan santun. Segala peraturan dan adat mereka tersusun mengikut taraf kedudukan. Pertuturan golongan pemerintah berbeza daripada orang bawahan. Oleh itu, budaya mencerminkan kedudukan golongan pemerintah dengan golongan diperintah.

Budaya pun penting dalam menyatupadukan masyarakat di sesuatu tempat. Hubungan sosial yang kerap hasil daripada aktiviti sosial akan menyatupadukan masyarakat. Dalam masyarakat kampung, umpamanya budayalah yang menyatupadukan mereka. Setiap anggota kampung akan turut hadir dalam pelbagai upacara, seperti perkahwinan dan kematian. Melalui aktiviti sebegini, hubungan penduduk sesebuah kampung menjadi lebih rapat.

Dalam masyarakat orang Melayu, budaya berperanan menyusun dan mengatur kehidupan, sesuai dengan perbilangan adat; "rosak kelapa kerana salah kukur, rosak manusia kerana salah atur". Sebagai contoh, dalam interaksi sosial, yang muda menghormati yang tua, yang tua pula menghargai yang muda, kerana yang tua pernah muda dahulu. Jika yang muda tidak menghormati yang tua, yang tua akan menuduh yang muda kurang ajar atau biadab. Perlakuan biadab akan menjejaskan hubungan antara generasi dan mewujudkan jurang generasi yang menjejaskan kesejahteraan sosial masyarakat.

Budaya sesuatu masyarakat mendidik anggota baharunya tentang nilai dalam masyarakat itu. Anak perempuan apabila sudah besar dilatih oleh ibunya ke dapur, memasak nasi, menjerang air, memasak lauk dan sebagainya, supaya dia memahami tanggungjawabnya. Dalam proses sosialisasi ini, individu akan dididik untuk berinteraksi dalam masyarakat, tahu bercampur gaul, tahu masa hendak ringan tulang, dan tahu hidup bermasyarakat. Budaya masyarakat menegah ahli kumpulannya bersikap sombong, bongkak, dan antisosial. Tujuannya membentuk setiap ahlinya menjadi orang, iaitu manusia yang memiliki peribadi yang baik, berakhlak, berpendidikan, beragama, beradat, serta berkedudukan yang baik.

Secara keseluruhannya, pengkaji budaya sedar bahawa budaya ialah sesuatu yang real dan penting bagi kewujudan manusia. Budaya mewujudkan manusia. Tanpa budaya sudah pasti individu atau masyarakat berkenaan tidak akan dikenali.

No comments: